LONDON - John Terry berazam untuk memperbaiki detik malang dalam kariernya dengan berusaha membantu England mempamerkan aksi terbaik pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Terry mengakui, dia masih mengalami kesan psikologi akibat kegagalan England layak ke Kejuaraan Eropah (Euro) 2008 sewaktu dia pertama kali diberi peranan sebagai kapten skuad kebangsaan England.
Ia kali pertama England gagal melangkah ke kejohanan besar sepanjang tempoh 14 tahun.
Tidak cukup dengan kegagalan itu, Terry juga telah mengharungi pengalaman pahit apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Chelsea tewas kepada Manchester United pada final Liga Juara-Juara 2008.
Namun, pemain berusia 28 tahun itu telah menyimpan azam untuk memperbaiki pencapaian terbaik England ketika layak ke separuh akhir Piala Dunia 1990.
Untuk rekod, England hanya sekali muncul juara iaitu pada edisi 1966.
"Saya pernah hilang semangat dalam kempen Liga Juara-Juara tetapi jika England gagal layak (ke Piala Dunia), ia kekecewaan lebih besar bagi saya.
"Apabila terjaga pada tengah malam, saya masih teringatkan kegagalan itu. Apabila kamu menjadi kapten skuad kebangsaan, segala beban sentiasa perlu dipikul.
"Apabila kamu lihat pada saingan liga kami, kami sentiasa dikatakan terbaik di dunia dan kebanyakan pemain beraksi dengan kelab utama dan kami sepatutnya melayakkan diri," kata Terry.
- AFP
0 Response to 'Terry azam julang England di Afrika'