LONDON - Ketua pasukan England, John Terry percaya pasukannya perlu lebih matang jika mahu menamatkan penantian panjang kegemilangan pada kejohanan Piala Dunia.
Dua minggu selepas isu sengaja menjatuhkan diri menjadi agenda utama bola sepak Britain dalam insiden yang melibatkan Eduardo, Wayne Rooney dan Aiden McGeady, Terry memberi isyarat bahawa pemain bintang England sering kali terlalu jujur demi kebaikan diri mereka sendiri.
Ketika penyerang Arsenal, Eduardo digantung dua perlawanan peringkat Eropah kerana sengaja menjatuhkan diri ketika menentang Celtic dan pemain tengahnya, McGeady dibuang padang kerana tindakan yang serupa ketika menentang Hibernian, Terry sedar berdasarkan pengalaman pertamanya, banyak pemain berjaya 'berlakon' menjatuhkan diri.
Pertahanan Chelsea itu tiada niat untuk menerima aksi sengaja menjatuhkan diri yang menyebabkan Eduardo menerima padah, namun dia berpendapat apabila menentang pasukan antarabangsa, perlawanan lebih pantas dalam usaha untuk mendapat sepakan bebas atau penalti, di mana berlaku terjahan kecil ketika merebut bola.
Terry bimbang sikap jujur para pemain England bakal menghantui kembali apabila beraksi dalam perlawanan penting Rabu ini pada kelayakan Piala Dunia menentang Croatia di Wembley.
"Kadang kala kami terlalu jujur. Malahan dalam Liga Perdana anda lihat pemain England terkena sedikit terjahan namun cuba dan terus berdiri dan cuba menyempurnakan peluang gol.
"Itulah cara permainan kami. Kami negara yang sangat jujur, kami beraksi dalam bahasa yang sangat jujur. Kadang kala sikap itu menjadi musuh kami.
"Cara pemikiran pemain asing mula meresap, apa juga sentuhan atau terjahan kecil, selari dengan kelajuan perlawanan anda boleh terjatuh.
"Jika ada kekasaran atau anda diterjah ketika mahu membolosi gawang, anda jatuh. Kemudian pengadil yang akan membuat keputusan,'' kata Terry.
Terry mengakui ada pemain tertentu, sama ada pemain England dan dari negara lain, sengaja menggunakan taktik itu.
Namun, dia yakin penipuan sebegitu bakal dihapuskan jika hukuman seperti yang dikenakan ke atas Eduardo oleh badan bola sepak Eropah UEFA, dilaksanakan apabila ada pemain yang sengaja menjatuhkan diri.
"Sudah tentu anda tahu jika seseorang pemain sengaja menjatuhkan diri. Adalah tidak adil jika berkata hanya pemain asing yang bertindak sedemikian.
"Saya rasa setiap orang akan mendapat peluang lebih baik jika ada peraturan yang memberitahu anda bahawa anda akan dihukum jika sengaja menjatuhkan diri,'' katanya.
Jurulatih England, Fabio Capello mengakui para pemainnya pernah sengaja menjatuhkan diri pada masa lalu, namun bertegas dia menentang jika ada tanda-tanda tindakan sebegitu.
"Kadang kala ia berlaku di dalam pasukan saya. Namun saya lebih suka pemain yang cuba melepasi halangan, saya tidak suka pemain yang sengaja menjatuhkan diri," kata Capello.
Terry berharap seorang pengadil yang tegas ketika menentang Croatia bagi memastikan tiada kontroversi menjatuhkan diri.
Untuk itu, pengadil perlu berada pada tahap terbaik pada perlawanan Rabu ini.
Skuad bimbingan Capello masih menanggung kepedihan mental dan fizikal selepas pertembungan terakhir dengan Croatia.
Kalah kepada pasukan bimbingan Slaven Bilic di Wembley dua tahun lalu menafikan tempat England ke Euro 2008.
Kemudian, pertembungan hangat di Zagreb tahun lalu menyaksikan Theo Walcott dan Joe Cole diterjah keras ketika Croatia kecewa dengan kekalahan 4-1.
Ketika Croatia bersaing untuk tempat ke penentuan playoff, Terry sedar England perlu beraksi ibarat 'api lawannya api' jika mahu menang, yang akan mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Afrika Selatan tahun depan.
"Permainan 10 atau 15 minit pertama amat penting. Di Wembley sebelum ini, kami cuba sangat agresif pada permulaan perlawanan.
"Kami perlu agresif pada 15 minit pertama. Kami perlu menang perlawanan lebih awal. Inilah kunci yang ditetapkan pada perlawanan itu nanti. Saya harap kami mendapat pengadil yang amat tegas untuk berdepan pelbagai perkara,'' kata Terry. - AFP
0 Response to 'Jangan terlalu jujur - Terry'