LONDON: Frank Lampard mengakui barisan bintang bola sepak England gagal untuk menepati jolokan 'generasi emas' tatkala skuad bimbang jurulatih berbangsa Itali Fabio Capello melengkapkan kempen kelayakan Piala Dunia menentang Belarus, hari ini.
Ketika Lampard, John Terry, Steven Gerrard, Ashley Cole, Rio Ferdinand dan David Beckham menempatkan diri dalam pasukan England dalam setahun atau dua tahun antara satu sama lain, kemunculan begitu ramai pemain muda berbakat membuatkan Adam Crozier, Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) ketika itu, untuk melabelkan mereka generasi emas.
Tetapi Lampard mendakwa jolokan itu terbukti satu bebanan kepada pemain tatkala mereka cuba untuk memenuhi kepercayaan yang diletakkan ke atas mereka.
Kekalahan di suku akhir Piala Dunia 2002, Euro 2004 dan Piala Dunia 2006, memberi gambaran bahawa England jauh sekali daripada generasi gangsa apa lagi generasi emas.
Kini, barisan bintang itu dalam atau menghampiri usia 30-an dan pemain tengah Chelsea, Lampard tahu peluang terakhir mereka untuk menjadikan label itu lebih bernilai akan hadir di Piala Dunia di Afrika Selatan, tahun depan.
"Ia boleh memberikan kebaikan menerusi tekanan ke atas pasukan dan individu tetapi apabila orang bercakap mengenai generasi emas, ia adalah jolokan yang menanti untuk gagal," kata Lampard. "Kami hanya turun ke padang dan bermain tetapi ia sentiasa menjadi sebutan. Sememangnya ia agak malang.
"Adam Crozier menyebutnya, orang ramai mengikutinya tetapi kami tidak menyusuli. Apabila anda bercakap mengenai generasi emas, bercakaplah mengenai 1966 apabila England memenangi Piala Dunia.
"Ia dinyatakan terlalu awal. Generasi emas sepatutnya disebut sebaik anda memenangi sesuatu. Apabila kami memenangi sesuatu, maka kemudian kita boleh berbicara mengenai generasi emas."
Selepas melayakkan diri ke pusingan akhir berbekalkan lapan kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan Enam di bawah kepimpinan Capello, England tampak lebih mantap untuk meninggalkan kesan lebih mendalam dalam Piala Dunia berbanding percubaan sebelumnya.
Malah kekalahan 1-0 menentang Ukraine, Sabtu lalu, yang menamatkan rekod cemerlang England dalam pusingan kelayakan, tidak dapat menggugat kekentalan pasukan itu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to 'Generasi Emas ? : Lampard (BERITA HARIAN)'